Wednesday, May 23, 2012

cerpen 'aku pelajar kejururawatan'

ASSALAMUALAIKUM..

hey hooo there readers!! sorry again sebaba laaaaaaaaaamaaaaaaaaaaaaa dah tak update. takpe takpe. here i am once again.

aku ada join satu competition buat cerpen untuk nurses day kt kampus aku. so, secara menggediknya aku nak post cerpen tersebut kat sini. nak bagi korang baca, then komen ek? hehehe... terima kasih wahai readers yang budiman :)






AKU PELAJAR KEJURURAWATAN
Mataku terkebil-kebil merenung skrin empat segi bercahaya di hadapanku. “Biar betul?” desis sang hati. Setelah beberapa minit aku termangu sebegitu, akhirnya aku memanjangkan tangan mencapai telefon bimbit di sisi. Jemariku pantas mendail sesuatu. Ingin rasanya aku menyuarakan rasa hati ketika itu. Biarpun senyuman yang mekar di bibir sudah cukup menggambarkan segalanya. Sambil meraup wajah, kutekapkan telefon bimbit ke telinga, menunggu talian di sambungkan.

“Assalamualaikum ayah. Angah dapat tawaran sambung degree nursing UiTM” ujarku sebaik sahaja talian disambung. Entah apa agaknya perasaan ayahku ketika itu. Lantaran dia menyandarkan harapan yang tinggi agar aku meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan.

Nursing? Angah ada apply course tu ke hari tu?” terdengar suara ayah bertanya di hujung talian. Jujurnya, kursus kejururawatan adalah antara lapan jenis kursus yang kupohon ketika membuat permohonan kemasukan ke IPTA, tetapi sekadar untuk mengisi kekosongan borang tersebut supaya tak nampak lopong. Tak pernah terjangkau dek akal fikiran untuk menyambung pelajaran dalam bidang ini. Namun entah kenapa, hatiku berbunga gembira menerima perkhabaran ini meskipun ia bukan satu keputusan yang aku nantikan saban hari.

“Tapi apa persepsi kawan-kawan aku nanti kalau mereka tahu aku dapat kursus ni? Mesti mereka akan pandang rendah pada aku.” Getus hatiku. Sebagai seorang pelajar lepasan kolej matrikulasi, keputusan peperiksaan akhirku agak memberangsangkan. Namun begitu, tentu sahaja ada beberapa suara sumbang yang akan berkata itu ini tentangku.

Kuluahkan kegusaran itu kepada ibu, kata-kata yang ibu titipkan buatku pada malam itu menjadi penguat semangat aku sehingga hari ini. Kata ibu, “Kalau tiada jururawat, macam mana doktor nak buat kerja? Kalau tiada jururawat siapa yang nak jaga orang sakit? Doktor rawat je, yang menjaga pesakit tu tugas jururawat. Ingat senang ke kerja jururawat ni? Pedulikan apa orang kata. Kejar cita-cita angah. Nanti dah berjaya, baru orang akan buka mata.”

Saban hari aku cuba membayangkan diriku dalam uniform serba putih sebagaimana yang sering aku saksikan di hospital tempat ayahku mendapatkan rawatan penyakit jantungnya. Dan setiap kali itulah juga aku semakin positif dengan keputusanku menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam kursus kejururawatan itu. Ditambah lagi dengan sokongan dan galakan dari keluarga dan teman-teman rapatku.

Berada di dalam bidang ini, walaupun hanya sebagai seorang pelajar, membuatkan aku sedar, profession kejururawatan bukanlah sebuah profession cikai-cikai seperti yang sering diperkatakan. Cikaikah jika terpaksa berdepan dengan risiko kehilangan nyawa pesakit andai tersilap walau sekecil- kecil langkah? Lantas, aku berazam untuk merubah pandangan masyarakat Malaysia terhadap profession mulia ini.

Bagiku, setiap orang merupakan jururawat. Sebagaimana tertanamnya sikap seorang pengajar di dalam jiwa setiap manusia, begitu jugalah hadirnya fitrah seorang perawat yang hadir di dalam jiwa setiap insan. Cuma yang membezakannya hanyalah keikhlasan dan kemahiran yang diasah dalam diri setiap individu. Kalau tidak masakan seorang ibu mampu merawat anaknya yang terluka tanpa perlu membawa mereka berjumpa doktor di klinik.

“Misi! Misi!” suara seorang pesakit tua berbangsa cina menyapa gegendang telinga. Entah kenapa hati terasa berbunga bila mendengar gelaran itu. Walaupun pada suatu masa dahulu, aku menganggap gelaran itu sebagai kuno dan ketinggalan zaman. Namun kini segalanya berubah, aku mula merasakan gelaran itu menambah kemesraan antara aku dan pesakit-pesakitku.

“Ada apa popo?” Popo ialah gelaran yang sering aku dan rakan-rakan berikan kepada pesakit-pesakit wanita tua yang berbangsa cina yang bermaksud nenek. Terasa lebih mesra dengan gelaran sebegitu.

“Misi dah makan? Mau makan sama saya?” tanya wanita tua itu.

“Takpelah popo. Popo makanlah. Mari saya suapkan.”

Begitulah rutin harian yang sering kami jalani sebagai jururawat pelatih di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN).  Menyuap makanan ke mulut pesakit adalah antara rutin kegemaranku kerana aku merasakan seperti sedang menyuapkan makanan ke mulut ibuku sendiri. Setiap satu suap yang disua ke mulut pesakit, menggamit bahagia yang menyelinap ke seluruh tangkai hati.

Dalam masa yang sama, aku berdoa agar Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik buat ibu dan bapaku dan agar aku dapat berbakti kepada mereka di saat mereka memerlukan khidmatku.

Benarlah kata orang, bila ikhlas itu hadir dalam setiap pekerjaan, maka insya Allah akan dipermudahkan segala urusan yang dibuat.

“Sedap popo?” tanyaku sambil menyudu baki nasi yang masih bersisa di dalam pinggan yang tersedia.

“Manyak sedap misi. Manyak sedap.” Ujar wanita tua itu sambil mengunyah setiap butir nasi yang disua.

“Kalau sedap, popo kena makan lagi. Bagi cepat sembuh. Boleh balik cepat-cepat.” Kataku lagi sambil tersenyum meskipun aku tahu wanita yang telah kehilangan deria penglihatan itu tidak mampu melihat senyuman yang mekar terukir untuknya.

Wanita warga emas itu hanya mengangguk-angguk perlahan sambil mulutnya ternganga lagi menunggu suapan nasi yang terakhir masuk ke mulutnya.

Mendapat pengalaman menjalani sesi klinikal di hospital-hospital sekitar universiti tempat aku menuntut banyak mengajar aku erti sebuah kehidupan. Dengan usia yang baru setahun jagung, aku bersyukur kerana telah diberi peluang untuk melihat sendiri segelintir cabaran dunia yang membuka mataku tentang beberapa perkara.

Seringkali aku terjumpa seorang ibu yang sanggup menjaga anaknya yang sakit di hospital tanpa mengira keselesaan dan keletihan yang dialami oleh dirinya sendiri. Tapi jarang sekali aku melihat seorang anak yang sanggup menjaga ibu atau ayahnya yang sakit di hospital sepertimana mereka dijaga oleh ibu bapa mereka ketika mereka sakit.

Dari situ aku sedar, seorang ibu mampu menjaga hatta 10 orang anak pun. Tapi mampukah seorang anak menjaga hanya seorang ibu? Ibu yang telah bersusah payah menjaga ketika sakit, melindungi ketika susah dan menceriakan ketika gundah.

Sekali lagi aku panjatkan doa semoga Allah menjadikan aku anak yang mampu berbakti sepenuh daya kepada kedua ibu bapaku setiap kali mereka memerlukan aku. Dapat kubayangkan kesedihan yang beraja di hati si ibu apabila anak yang ditunggu tak kunjung tiba.

Sungguh, aku tak sanggup andai ibuku sendiri terpaksa menghadapi situasi sebegitu. Doa kutitip lagi semoga semua insan bergelar anak tidak tegar mengabaikan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk mereka dan semoga setiap pesakit di bawah jagaanku cepat sembuh dan dapat menjalani kehidupan normal seperti manusia lain.

Kuumpamakan jururawat seperti matahari yang membakar diri demi insan sejagat. Jururawat terdedah kepada berbagai-bagai jenis penyakit berjangkit yang berbahaya ekoran pendedahan mereka kepada pelbagai bakteria dan virus yang dibawa oleh keadaan sekeliling di dalam hospital. Maka bagiku, profession ini seharusnya tidak lagi dipandang sebagai kerjaya kelas bawahan oleh masyarakat sekeliling, sebaliknya memandang jururawat sebagai satu profession yang mulia sebagaimana mulianya kerjaya seorang guru.








dah habis. i do need your comments guys. dah laaaaaaaaaaaamaaaaaaaaaa gila tak mengarang, dah berkarat skru spana dan sebagainya kat dalam otak ni. tadi nak mengarang pun kena gerudi dulu cerebellum ni. >.<




ok guys. maaf kalau ada kekurangan. insyaALLAH, lain waktu akan diupdate lagi blog busuk bau kepam ni. till we meet again. assalamualaikum.


thanks for reading!!
ukhuwah fillah abadan abada :)